Jenang Kerisik

Inilah namanya “Jenang Kerisik”. Ada setengah tempat menggelarnya “Wajik Kasirat”. Memang susah nak dapat. Tapi rasanya sekarang banyak dah pihak-pihak yang mengkomersilkannya. S0…bolehlah cari-cari kat internet. Mesti ada punya yang jual online. Cuma nak ceritanya, kalau tak ada kenduri, tak merasalah  sebab masa kenduri yang besar-besar sahaja mereka buat. Itupun sekarang ni, dah ramai orang tak buat masa kenduri. Mungkin kosnya tinggi dan nak buatnya pun amik masa yang lama dan rumit. Apa pun, jom kita baca resepi dia,  kot-kot boleh buat sendiri.

 

Bahan-bahan :

  • 500gm beras pulut
  • 1/2 biji kelapa parut, dijadikan kerisik
  • 2 cawan santan
  • 300gm gula putih, dijadikan gula hangus

Cara-cara:

  1. Beras pulut dibasuh dan ditoskan hingga kering.
  2. Kemudian digoreng tanpa minyak sehingga kekuningan dan dikisar halus.
  3. Gaulkan beras pulut bersama kerisik.
  4. Gula putih dibuat gula hangus (caramel) dan dituang ke dalam santan. Dimasak hingga mendidih.
  5. Masukkan beras pulut bercampur kerisik ke dalam santan yang mendidih. Kacau sehingga masak, kelihatan likat dan berkilat.
  6. Sentiasa kacau sehingga pekat, lebihkurang 10 minit ke 15 minit.
  7. Tekan di dalam loyang yang beralas daun pisang.
  8. Sejukkan sebelum dipotong.

Sumber :  http://kembang-kantil.blogspot.com/2010/12/wajik-kasirat-jenang-kerisik.html

Bahasa Jawa

Foto diatas adalah keratan dari kitab kuning yang memperbahasakan kaedah feqah dalam bab haid & nifas. Ianya ditulis dalam bahasa Arab tetapi adalah terjemahan didalam bahasa Jawa dibawahnya (Jawa Halus).

Tiada bezanya bahasa Jawa yang dipertuturkan di Tanah Jawa sendiri mahupun di Malaysia kerana mereka datang dari rumpun dan tempat yang sama. Apabila aktiviti migrasi berlaku beberapa dekad yang lepas, ianya telah membawa sekali budaya dan cara hidup sebagai Anak Jawa yang asal.

Tetapi, setelah proses asimilasi berlaku dengan mengikut arus semasa dan budaya setempat, bahasa Jawa di Malaysia agak kurang dipertuturkan oleh generasi ketiga dan seterusnya. Ianya melibatkan banyak faktor untuk diperbahaskan dan memerlukan satu pelan tindakan bagi proses-proses pemuliharaan agar ianya terus tegar menjadi satu bahasa ilmu dan kebanggaan.

Bahasa Jawa boleh di bahagikan kepada dua iaitu “Bahasa Jawa Halus” yang diwarisi dari warisan keraton dan keduanya adalah “Bahasa Jawa Biasa” yang banyak dipertuturkan dalam urusan seharian.

Sekiranya anda ingin menajamkan semula kemahiran berbahasa Jawa, saya menyarankan perkara-perkara berikut :

  • Bertutur dengan Bahasa Jawa apabila bertemu rakan-rakan yang “sekapal”.
  • Membaca kitab-kitab kuning yang mana ianya ditulis dan dibahaskan dalam bahasa Arab tetapi diterjemahkan kedalam bahasa Jawa Halus.

REWANG : BUDAYA MUAFAKAT MASYARAKAT JAWA

Pulang “Rewang” Ke Kampung

Awal-awal lagi emak saya sudah berpesan kepada semua anak-anaknya termasuklah saya supaya pulang ke kampung pada 31/5 /2008 & 1/6 /2008 yang lepas. Ini adalah arahan kebiasaan apabila ada apa-apa majlis kenduri yang akan dibuat dikampung. Majlis kenduri kali ini ialah majlis walimah (kenduri kahwin) di rumah emak saudara saya yang merangkap kakak kepada abah, Embah Supinah. Panggilan mesra untuk beliau ialah Embah Wawok.

Pada satu-satu majlis kenduri perkahwinan seumpama ini, kami adik-beradik akan dikerah untuk balik dan berkumpul dalam satu keluarga besar untuk sama-sama membantu majlis perkahwinan tersebut. Adat inilah yang dipanggil dengan istilah REWANG menjadikan ianya satu budaya dan adat yang unik dalam masyarakat Jawa. Penglibatan dalam aktiviti rewang seolah-olah menjadi satu yang wajib dan menjadi satu kesalahan yang besar jika ada mana-mana anggota keluarga yang tidak dapat menghadirkan diri dengan alasan yang konkrit.

Saya cuba untuk menilai semula nilai-nilai adat yang baik ini kerana saya tidak mahu keterlibatan saya hanya dinilai dari aspek pandangan adat dan budaya yang baik semata-mata. Ini kerana segala-galanya bermula dengan niat yang murni. Saya menyatakan demikian kerana ada anggota keluarga yang hadir kerana seolah-olah terpaksa dan terikat kuat dengan adat. Maka saya terangkan semuanya kepada isteri saya tentang budaya ini. Maklum saja, isteri saya berasal dari Kelantan. Maka kami telah menetapkan bahawa kehadiran kami ke majlis rewang tersebut dengan misi amal, ziarah dan ukhwah.

Misi Amal, Ziarah Dan Ukhwah

Tatacara adab bergaul dengan masyarakat ada disebut dan dibincangkan di dalam kitab Sairu As-Salikin karangan Syeikh Abdul Samad Palembagi. Beliau membahaskan adab yang bagaimana untuk kita dibolehkan bergaul dengan masyarakat atau tidak. Pertamanya, tidak dibolehkan sekiranya aktiviti tersebut bercampur dengan perkara-perkara maksiat dan boleh merosakkan akhlak, iman & amal. Keduanya dibolehkan atas dasar ta’awun iaitu bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan.

Maka saya melihat sebenarnya budaya rewang ini merupakan satu medan amal yang besar kerana aktiviti bergotong royong memang menjadi satu amalan masyarakat Melayu umumnya dan budaya rewang ini juga dapat dijadikan satu medan dakwah diperingkat keluarga dan sanak saudara. Maka itulah misi amal, ziarah dan ukhwah menjadi keutamaan kami sebelum mendahulukan nilai adat dan budaya setempat.

Maka, aktiviti selama dua hari tersebut telah dipenuhi dengan aktiviti yang meriah kerana masing-masing akan mencari apa sahaja kerja yang boleh dilakukan. Kalau dahulu, anak-anak muda akan berebut-rebut untuk menjadi “penanggah” yang bermaksud pelayan, tetapi fungsi tersebut kian lama kian terhakis kerana sistem kenduri sekarang lebih kepada sistem layan diri. Selain itu juga, minat belia-belia dan anak muda untuk menghadiri rewang juga kian merosot. Mungkin sebab itulah saya menyarankan agar misi amal ini di terapkan agar mereka dapat melihat semua kerja-kerja ini dengan nilai-nilai pahala amal yang soleh.

Antara lain yang menjadi tarikan anak muda ialah hiburan. Makanya, mana-mana majlis yang tiada hiburan maka kuranglah anak-anak muda yang hadir. Antara hiburan yang saya maksudkan ialah seperti kumpulan kugiran, kuda kepang, joget lambak dan sebagainya. Maka disinilah saya melihat peranan dakwah yang sesuai agar hiburan-hiburan yang melalaikan ini dapat diubah konsepnya kepada hiburan yang lebih Islamik.

Bermain-main dengan keletah adik-adik sepupu dan anak-anak buah juga menjadikan misi ukhwah amat bererti buat saya. Kami sesama sepupu berborak-borak panjang bercerita dari hal kerjaya, rumahtangga, politik dan lain-lain lagi. Bagi saya ukhwah inilah sebagai satu jambatan jangka panjang untuk misi dakwah yang lebih jauh pada masa-masa mendatang.

In Sya Allah, selepas ini saya akan mengupas tajuk-tajuk lain yang saya letakkan di bawah kategori Masyarakat Jawa sebagai satu pengenalan untuk anda mengenali budaya Masyarakat Jawa ini dan sejarah telah membuktikan bahawa adat dan budaya setempat merupakan salah satu senjata yang ampuh untuk menguasai medan dakwah setempat.

Foto-Foto Rewang

Aktiviti Menggagau

Gambar di atas sempat saya rakamkan ketika menginap di sebuah hotel di Alor Setar atas urusan kerja tahun lepas. Kedah memang terkenal sebagai negeri jelapang padi, dan pada pemerhatian saya, banyak hotel-hotel dan agensi kerajaan menjadikan sektor pertanian padi ini sebagai satu kebanggaan yang diluahkan diatas lukisan, pameran barang-barang tradisional penanaman padi dan sebagainya.

Akan tetapi, foto diatas memang membuatkan saya tersenyum sendirian kerana terkenang zaman kanak-kanak dahulu yang lagaknya saling tak tumpah dengan aktiviti diatas. Ya…aktiviti menggagau ikan ditengah sawah yang mana ianya terkenal dengan istilah “NGGOGOH“. Agak sukar untuk menyebutnya, tetapi itulah keindahan lidah yang dilentur dengan lerek & loghat jawa yang asli.

Kaedah menangkap ikan disawah ada beberapa teknik. Terpulang kepada keserasian individu samaada mahu memancing, nggogoh, nyogrok ataupun njolo. Hasilnya tetap sama tapi tahap keletihan memang berbeza. Yang pasti kepuasan tetap ada. Seperti lazimnya, hasil tangkapan selalunya berupa ikan sepat, ikan keli, ikan haruan dan ikan puyu. Jarang-jarang sekali untuk mendapatkan ikan belida, ikan lundu mahupun udang galah. Mungkin penggunaan racun rumpai dan serangga yang meluas keatas tanaman padi, menyebabkan habitatnya terancam dan spesisnya berkurangan.

Walau apapun istilahnya, setiap anak-anak yang pernah membesar di Desa STJ akan tetap mengenang ceriat ini sebagai antara kenangan yang terindah zaman kanak-kanak dan remaja.

Ulangtahun pertama MohdRazani.com

Salam persaudaraan buat semua.

Lebih dari setahun saya meninggalkan blog ini tanpa terusik. Hambatan masa yang meletakkan saya di sisi “priority” yang lain menyebabkan tiada entri bertambah semenjak April 2010. Namun, saya masih disini dan masih berharap agar segala kekuatan tetap ada untuk terus menulis. Sebenarnya bukan diruangan blog ini sahaja, tetapi hampir melibatkan blog-blog saya yang lain beserta group-group FB yang agak tidak terurus. Sebagaimana lesunya saya untuk bertahan aktif di arena ini, maka begitu jualah suramnya wajah-wajah blog yang mungkin mngecewakan kalian.

Kalau-kalau tiada perkembangan yang menraik disini, cuba-cubalah cuit saya di FB, email dan mungkin blog peribadi saya.

In Sya Allah. Selepas dari entri ini, saya akan mengemaskini apa-apa cerita yang menarik untuk tatapan semua.

Wassalam

Ulangtahun Pertama mohdrazani.com

Alhamdulillah. Web ini telah menjangkau usia setahun. Selama setahun itulah pelbagai perkara telah berlaku. Setahun yang telah berlalu itu jugalah telah menyaksikan banyak usaha-usaa dilakukan untuk memajukan web MohdRazani.com dengan paparan dan persembahan yang terbaik. Secara jujurnya, saya tiada impak besar yang mampu disumbangkan kerana, selama setahun itu jugalah semua fokus usaha saya hanya kepada aktiviti R&D atau lebih tepatnya adalah kerja-kerja “try & error”.

Apapun, banyak perkara yang baru dan menarik telah saya pelajari. Saya akui, untuk bertahan selama setahun ini agak sukar sebenarnya sekiranya tiada  minat yang mendalam dalam arena ini. Hanya bersandarkan minat dan usaha yang sedikit, saya gagahkan juauntuk membuat percubaan kedua untuk tahun yang kedua.

Jadi, jutaan terima kasih kepada anda semua yang telah menyokong saya dan aktiviti-aktiviti saya sama ada secara langsung ataupun tidak. Apa yang pasti jua, saya cuba untuk mempersembahkan sesuatu yang lebih baik, lebih bagus dan lebih luar biasa untuk kawan-kawan. Jadi, untuk tahun yang kedua ini, hasil dari “R&D” setahun yang lepas, saya akan fokuskan kerja-kerja saya dalam bidang pembangunan laman web, rekabentuk grafik web, perniagaan internet dan “self development”.

Tunjuk ajarku Sifu!

Ya….saya harus belajar…belajar dan terus belajar. Jangan cepat mengalah. Adakalanya, ada juga terbit perasaan untuk kecewa dan putus asa dek kerana keterbatasan ilmu dan juga sumber. Tetapi saya sedar bahawa segala usaha saya hari ini akan menentukan hidup saya dimasa hadapan.  Jadi, untuk apa yang telah ada digenggaman, saya akan gandakan usaha saya berkali-kali ganda. Mengapa saya harus berhenti disini dek kerana saya tidak sempurna, sedangkan faktor kejayaan tidak memerlukan untuk kita sempurna dengan kecukupan. Cukup dengan apa yang anda dan kita gandakan usaha kita. Mungkin motivasi ini saya kongsikan dengan kawan-kawan dengan artikel sahabat saya ini.

Tak Perlu Kesempurnaan Untuk Berjaya

Pastinya, untuk kawan-kawan sekelian, akan ada hadiah bonus istimewa dari saya. Nantikan pengumuman saya dalam masa terdekat dan tidak rugi untuk saya berkongsi ilmu-ilmu yang telah digarap untuk kebaikan kita bersama.

Untuk itu, sila pastikan anda tidak terputus hubungan dengan web ini. Jadi bertindaklah segera dengan media-media berikut bagi mengikuti perkembangan semasa “baby” yang berusia setahun ini.

  1. Melanggan artikel mohdrazani.com terus ke email anda :  KLIK SINI
  2. Melanggan RSS : KLIK SINI
  3. Jadi rakan FB : KLIK SINI(en-gb) | KLIK SINI(http) | KLIK SINI(https)

Kuih Lemper


Sushi jawa tu nama saja2 letak… makcik aku kat Ampang kata kawan2 dia (non-jawa) panggil kuih ni lagu tu. Lemper ni menjadi favourite di kalangan keluarga dan orang2 kampung ku terutama bila ada kenduri. Membuatnya agak remeh tapi yg penting intinya sedap…

Bahan-bahan utama:
  • Pulut
  • Santan yang dimasukkan sedikit garam
  • Daun pisang
Bahan-bahan inti:
  • Kelapa parut – sangan sampai garing dan berwarna perang tua
  • Bilis atau udang kering (letak 2-2 pun boleh) – goreng
  • Bawang merah – hiris dan goreng garing
  • Sedikit bawang putih – hiris dan goreng sekali dgn bawang merah
  • Serbuk cili – ikut kepedasan yg diingini (boleh juga guna serbuk lada sulah – resipi asal)
  • Gula dan garam secukup rasa (gula kena lebih)
  • Serbuk perasa (optional)
Cara-cara I:
  1. Kukus pulut separuh masak dan keluarkan bekas dari pengukus
  2. Sendukkan sedikit-sedikit santan ke atas pulut dan gaul/sebatikan (mcm buat pulut kuning).
  3. Masukkan semula ke dalam pengukus dan kukus sampai masak. Keluarkan pulut dari situ.
Cara II – inti:
  1. Tumbuk/kisar bahan2 yg digoreng seperti bawang dan udang kering/bilis. Secara berasingan tumbuk juga kelapa hingga halus (jgn pulak sampai jadi kerisik!)
  2. Setelah itu, gaul semua bahan dalam bekas iaitu kelapa, bawang, bilis, cili kering, garam halus dan gula hingga sebati dan secukup rasa.
  3. Sebaiknya buat inti lebih awal (dlm sehari lebih awal) supaya rasanya lebih sebati
Cara–cara2 III – bungkus:
  1. Kepal2 pulut (dalam sekepal – atau sebesar sushi), leperkan dan letakkan sesudu inti ke atasnya. Tutup inti… (macam buat koci)
  2. Bungkus dengan daun pisang seperti sampan. Daun pisang tu kena ada 2 iaitu kemban utk menyaluti pulut yg dikepal dan daun yg lebih lebar utk membungkus seperti sampan.


Nota: Hanya yg pernah makan dapat membayangkan rupa dan rasanya hehehe…

Sejarah Asal Kampung Seri Tiram Jaya

Kampung Seri Tiram Jaya yang dikenali pada hari ini adalah berasal dari nama Kampung Tiram Buruk yang telah dibuka pada tahun 1932. Kampung Tiram Buruk
sebenarnya terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

1. Kampung Tiram Buruk (Kg Seri Tiram Jaya sekarang)
2. Kampung Baru Tiram Buruk
3. Kampung Ulu Tiram Buruk

Kawasan kampung ini agak luas. Bagaimanapun kampung yang ramai penduduknya pada masa itu ialah Kampung Tiram Buruk. Kebanyakan penduduknya terdiri daripada bangsa Melayu, manakala di bahagian kampung Baru pula ramai di kalangan penduduknya terdiri daripada kaum Cina. Sementara di bahagian Ulunya tidak ramai penduduk yang tinggal.

Kampung Tiram Buruk pada peringkat awalnya mempunyai seramai lebih kurang 2000 ke 3000 orang penduduk dengan bilangan rumahnya kira-kira 250 buah di bahagian kampung dan selebihnya di kawasan sawah.

Kampung Tiram Buruk mendapat nama sekitar 1925 di mana ulu kampung ini iaitu di Jalan Raja Musa sekarang terdapat sebuah sungai yang mengandungi banyak tiram yang sudah mati. Ianya terletak kira-kira 7 kilometer dari Kuala Selangor (terdapat dapat lagenda Keramat Anak Dara). Kampung ini dibuka oleh orang Melayu ketika itu tetapi terbengkalai di pertengahan jalan menyebabkan ramai orang-orang Jawa datang bekerja di sana dan berjaya membuka tanah di kawsan tersebut.

Oleh kerana kawasan ini tertlalu jauh di kawasan pendalaman, ramai penduduk di sana menjual tanah mereka kepa kaum Cina. Orang- orang Jawa kemudiannyatelah membuka tanah baru yang dijadikan sawah padi iaitu di kawasan block U dan X sekarang. Kawasan ini telah dibuka sekitar tahun 1932. Dalam tahun yang sama kawasan kampung bersebelahan sawah padi telah dibuka. Sidang Haji Hussin telah mengetuai pembukaan tanah tersebut dan berhenti sekitar tahun 1935. Sidang Haji Ahmad Marjono mengambil alih usaha pembukaan tanah-tanah baru ini.

Tidak lama kemudian, orang kerajaan telah datang dan bertanya kepada penduduk-penduduk tentang nama kampung tersebut. Oleh kerana kebanyakan penduduk di sana adalah berasal daripada kampung Tiram Buruk, maka secara otomatik kampung tersebut dinamakan Kampung Tiram Buruk iaitu bersebelahan dengan kampung asal mereka. Pada tahun 1938, orang-orang Batak telah datang untuk mengambil upah mengerjakan sawah-sawah baru di Block E dan F. Usaha bersawah ini diteruskan oleh orang-orang Jawa sehingga kini.

Tahun 1940 zaman pemerintahan Jepun zaman memeritkan di kebanyakan rumah penduduk dibakar dan dibom kerana mereka beranggapan Tiram Buruk adalah kawasan komunis. Penduduk dihalau, di arak ke Raja Musa tetapi dibenarkan balik semula setelah maklumat yang diterima mereka adalah salah.

Tahun 1946 merupakan zaman pembesaran kampung kerana bilangan penduduk semakin bertambah. Setiap penduduk diberi sebidang tanah kampung dan tanah sebidang tanah sawah. Oleh kerana itu geran tanah mereka masih lagi bercantum sehingga ke hari ini. Bilangan penduduk semakin bertambah. Kerajaan berusaha membuka tanah FELDA. Ramai yang berpeluang menjadi peneroka.

Pada tahun 1977, Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan pertukaran nama dari Sekolah Kebangsaan Tiram Buruk ke Sekolah Kebangsaan Sri Tiram.

Setahun kemudian, dalam Mesyuarat Agung PIBG sekolah YB Datin Paduka Zalehan Ismail, ADUN Permatang yang juga EXCO Negeri Selangor telah menyarankan agar nama kampung juga diubah kepada nama baru yang kekal hingga ke hari ini iaitu Kampung Seri Tiram Jaya.

Pada 1 Julai 1989, YAB Tan Seri Dato’ Muhamad b Hj Muhamad Taib selaku Menteri Besar Selangor telah mengisytiharkan nama kampung yang baru iaitu Kampung Seri Tiram Jaya bersama logo kampung.

Pada 20 Jun 1992, Kampung Seri Tiram Jaya sekali lagi melakar sejarah dengan mengadakan Program Kembali ke Desa dan melancarkan Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P) yang disempurnakan oleh YAB Tan Seri Muhamad b Hj Muhamad Taib, Menteri Besar Selangor.

Pentadbiran kampung di kenal sebagai Tok Sidang atau Pak Lurah. Tahun demi tahun pucuk pimpinan kampung bersilih ganti. Antara pemimpin kampung yang telah mencurahkan bakti kepada kampung ini ialah :

1. Tn Hj Ahmad Marjono b Kasan Ilhar – 1932 – 1953
2. Tn Hj Ahmad Betawi – 1953 – 1955
3. Tn Hj Abd Mongin b Sartam – 1956 – 1960
4. Tn Hj Omar b Kasan Ilhar – 1961 – 1968
5. Tn Hj Omar@ M Misman b Hj Kahar – 1969 – 1970
6. Tn Hj Omar b Kasan Ilhar – 1970 – 1996
7. Tn Hj Wagiman b Idris PJK – 1.8.1997 – sekarang

Sumber :  http://kgseritiramjaya.tripod.com/sejarah.html

Cerita Tentang Kopi

Buah Kopi Yang RanumMenikmati secangkir kopi memang enak sekali. Apatah lagi kalau sessi minum kopi tersebut dihidangkan bersama dengan makanan seperti ubi rebus yang dimakan dengan ikan kering dan sambalnya sekali. Itu cerita lama. Agak sukar untuk merasai semula situasi begitu, lebih-lebih lagi kalau suasana hujan melatari senario pada masa tersebut.

Untuk mendapatkan rasa dan aroma kopi yang terbaik, anda bolehlah mendapatkannya mengikut bajet masing-masing. Bermula dari kopi cap manggis sehinggalah ke kopi cap kapal api. Kalau mahukan citarasa yang lebih umph, mungkin tempat-tempat seperti Starbuck (tidak digalakkan kerana secra terang-terangan ia meyumbang kepada gerakan zionis yahudi di dalam laporan kewangan tahunan) dan Coffe Bean boleh dilawati.

Cerita pasal kopi, suka untuk saya menyeret kepada memori silam tentang kewujudan tanaman kopi di kampung kesayangan kita, Kampung Seri Tiram Jaya.  Tahukan anda bahawa tanaman kopi pernah menyumbang sebanyak 10% daripada ekonomi masyarakat kampung pada masa dahulu. Tanaman kopi pada masa dahulu akan disulami dengan tanaman kelapa dalam satu kawasan tanah yang sama.

Mungkin agak sukar untuk mencari tanaman kopi di STJ pada masa ini kerana ianya seakan-akan pupus mengikut rentak peredaran zaman. Selain dari faktor kejatuhan harga kopi, tanaman ini juga memerlukan penjagaan yang agak rumit berbanding tanaman lain. Sebab itulah tanaman kelapa sawit telah mengambil alih tempat tanaman kopi.

Walaubagaimanapun, masih ada peninggalan sepohon dua tanaman kopi yang masih hidup boleh dijumpai. Di halaman rumah bapa saya di kampung masih lagi boleh ditemui tanaman yang agak “longko/langka” ini.

Ianya akan mengingatkan saya kepada memori silam, kerana aktiviti memetik buah kopi pernah mewarnai zaman kanak-kanak saya dahulu. Kami akan berlumba-lumba untuk memenuhkan baldi yang diperbuat dari tin minyak tanah dengan buah kopi yang masak ranum. Ianya menjadi pendapatan sampingan ataupun wang saku bagi kami kerana setiap tin yang penuh akan diberi upah dengan kadar 30 sen setin.

Selain dari aktiviti memetik kopi, saya masih lagi teringat dengan aktiviti mencari “sisilan” kopi. Sisilan bermaksud leraian buah-buah kopi yang telah kering. Ianya hanya boleh dijumpai di bawah rimbunan dedaun kopi yang kering di atas tanah. Harga sisilan ini lebih mahal berbanding dengan harga kopi basah/segar.

Paling menguntugkan sekiranya dapat menemui “gabah” yang telah kering. Gabah bermaksud gumpalan biji kopi yang terhasil dari tahi/najis musang. Musang buah amat menyukai buah-buah kopi yang masak ranum. Ianya tidak dapat dicerna dan akan di keluarkan semula sebagai najis. Gabah ini akan dikutip dan dikeringkan sebelum ianya boleh dijual bersama dengan sisilan.

Zaman itu tidak akan berulang. Ianya akan tersimpan sebagai kenangan hidup sepanjang hayat dan akan diceritakan kepada generasi anak-anak supaya mereka mengetahui asal-usul keturunan mereka.

Kampung Ulu Tiram Burok

Ternyata, nama Ulu Tiram Burok (UTB) telah tersohor ke seluruh pelosok dunia berbanding Seri Tiram Jaya (STJ). Nama STJ hanya digunakan semenjak tahun 1980-an atas cadangan Ahli Parlimen ketika itu, Datin Zaharah Sulaiman.*Datin Zaleha Ismail.

Perkara ini hanya saya sedari ketika melakukan pencarian di Internet. “Searching” dengan menggunakan perkataan Ulu Tiram Burok amat mengujakan  keputusan berbanding perkataan Seri Tiram Jaya.

Pencarian dengan menggunakan perkataan STJ hanya terbatas kepada senarai-senarai di Malaysia dan tidak menemukan maklumat yang agak jauh kebelakang.

Tetapi, dengan menggunakan perkataan UTB, hasilnya telah membawa saya ke dunia luar yang lebih jauh dan luas, Dunia luar langsung tidak mengenali kewujudan STJ tetapi mereka lebih mengenali STJ sebagai UTB.

Saya berasa agak teruja untuk membaca satu kajian lapangan oleh L.J. Fredericks yang bertajuk Ecology, New Technology & Rural Development : Impressions of Kampung Ulu Tiram Burok. Kalau anda berminat untuk membacanya, sila download laporan dalam format PDF di sini.

www.cseas.kyoto-u.ac.jp/seas/18/4/180404.pdf

Penemuan lain yang ingin saya kongsikan ialah berkenaan Google Map.  Data didalam google maps hanya menemukan lokasi Kampung Ulu Tiram Burok dan bukannya Kampung Seri Tiram Jaya pada kedudukan koordinat seperti berikut :

Latitude : 3.45° N
Longitude : 101.25° E

Kampung Ulu Tiram Burok @ Google Map

Selebihnya, saya serahkan kepada anda untuk mencuba sendiri dengan meng”google” perkataan UTB dan lihatlah hasilnya.

———————————

*Pembetulan fakta dari Datin Zaharah Sulaiman kepada Datin Zaleha Ismail.

Fotokad : Pemandangan STJ

Entri fotokad  bertemakan pemandangan di sekitar STJ.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.